KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menemui Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Kedua Singapura, Tan See Leng sebelum berlepas pulang ke Sarawak selepas mengadakan lawatan kerja semalam di Singapura.
Dalam pertemuan selama 45 minit itu, Abang Johari dan Tan berbincang mengenai pelbagai perkara yang mempunyai kepentingan bersama kepada Singapura dan Sarawak termasuk kerjasama dalam projek tenaga diperbaharui, ekonomi hijau dan hidrogen
Abang Johari mengadakan lawatan kerja ke Singapura pada tengah hari Isnin untuk menyampaikan ucaputama sebagai penceramah undangan pada majlis S. Rajaratnam Endowment Dialogue 2022 (SRED 2022) atas jemputan penganjur, Yayasan Temasek.
Turut bersama Abang Johari pada mesyuarat itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Pegawai Ekskutif Sarawak Energy Bhd, Datu Sharbini Suhaili.
Dalam ucaputamanya pada SRED 2022 malam tadi, Abang Johari mengupas isu terkini dagangan dunia dan wilayah dan pelbagai inisiatif baharu Kerajaan Sarawak.
Di bawah pucuk kepimpinan Abang Johari yang mengetuai Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperkenalkan inisiatif mentransformasikan ekonomi Sarawak merangkumi ekonomi digital, ekonomi hidrogen, ekonomi hijau, pembiayaan alternatif melalui Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), sistem aliran transit autonomi untuk memodenkan pengangkutan awam, pusat sains Sarawak dan pertanian berasaskan teknologi untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport produk makanan.
Sumber dari : Jiwa Bakti